Siapa yang perlu diikuti?

Ramai kenalan bertanya kepada saya mengapakah cara ibadat saya berlainan? Mengapa tak macam mazhab Shafi’e pun? Ni belajar dari mana nih? Benar, saya dibesarkan menurut mazhab Shafi’e, tetapi saya tidak mengikutinya 100%. Mengapa? Adakah saya lebih baik dan pandai dari Imam Shafi’e? Adakah saya sudah mempunyai kelayakan untuk bermujtahid setaraf dengan para ulama’? 

Saya sendiri tidak mengulang wudhu’ sekiranya tersentuh wanita bukan muhrim, brerkeyakinan bahawa daging sembelihan Kristian dan Yahudi halal dimakan, boleh menjama’ solat kalau memerlukan walaupun tidak bermusafir dan lain-lain lagi. Tetapi saya kembalikan semula: adakah korang ni betul-betul mengikut ajaran Mazhab Shafi’e? 

Memang betul bahawa mazhab menyenangkan pemahaman seorang Muslim tentang bagaimana untuk menjalankan ibadah terutamanya. Antara alasan yang diberikan ialah kerana Nabi Muhammad SAW sudah wafat dan para muslimeen memerlukan tunjuk ajar daripada imam-imam mazhab supaya tidak terkeliru. Itu benar. Tetapi imam para mazhab juga sudah meninggal. Jadi bagaimana pula nak memahami ajaran Islam? 

Saya berikan satu contoh: saya seorang muallaf dari Amerika Syarikat (AS). Di AS, tiada mazhab yang tetap untuk para muslimeen. Ada yang mengikuti Hanafi, ada yang mengikuti Shafie’, ada juga Maliki dan Hanbali. Jadi, adakah saya tidak boleh mengamalkan Islam selagi saya tidak memilih salah satu mazhab tersebut?

Wahai saudara-saudari sekalian, ketahuilah bahawa Islam itu indah. Tiada mana-mana dalil dari al-Quran dan as-Sunnah yang mewajibkan umat Islam mengikut mana-mana mazhab. Tentunya penerangan dan pembelajaran ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW memerlukan tunjuk ajar seseorang yang diyakini ilmu islamnya. Cuma tidak semestinya daripada imam mazhab.

Saya sendiri dibesarkan secara agak ‘nomad’. Sepuluh tahun pertama saya hidup di Malaysia, dan kemudian di Bradford, UK selama setahun. Sekembalinya dari UK, saya juga dihantar berumrah dan belajar di Makkah untuk 2 kali selama 3 bulan. Di UK dan Makkah saya mempelajari dengan pelbagai Tok Guru yang mempunyai pelbagai pendapat. Pendapat yang sungguh berlainan daripada apa yang dipelajari daripada sekolah agama dan pendidikan Islam di Malaysia.

Tetapi adakah saya mengatakan pendapat ini salah dan pendapat ini lebih betul? Tidak sama sekali. Saya tidaklah setaraf mujtahid untuk menganalisa pendapat mana lebih betul atau salah. Saya cuma ikuti apa yang saya pelajari daripada Tok Guru pelbagai bangsa yang pernah saya berjumpa. Malah di kawasan perumahan saya di Kuala Lumpur, ada seorang ulama’ yang mempunyai jawatan dalam Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor, memberi kuliah Tafsir al-Quran setiap pagi selepas solat subuh. Dan pendapat beliau amatlah berlainan dengan trend ulama lain di Malaysia.

 Begitu juga dengan kemunculan ulama muda seperti Mufti Perlis Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin (MAZA). Ramai ulama masa kini sudah membuka semula tirai ijtihad supaya umat Islam boleh kembali semula menjana minda berfikir. Dan ulama-ulama ini sangatlah berlainan pendapatnya berbanding dengan imam mazhab empat. Jadi, adakah sepatutnya perlu diikuti imam mazhab empat ataupun para ulama yang diyakini ilmunya dan lebih mengenali cabaran dunia masa kini?

Imam Shafi’e tidak pernah sesekali memaksa sesiapa pun untuk mengikuti ajarannya. Malah, beliau berkata ‚jika pendapatku bertentangan dengan hadis sahih, lemparlah pendapatku ke dinding dan ambillah hadis itu’. Betapa rendah dirinya imam Shafi’e sampai tidak mahu sesiapa pun untuk mengikuti mazhabnya. 

Kembali semula kepada permasalahan awal, saya tidak perlu mazhab untuk memahami al-Quran dan as-Sunnah. Tok guru saya yang pelbagai bangsa dan mazhab itu tidak pernah menyuruh saya untuk mengikuti mazhab Shafie sahaja. Malah, mana-mana pendapat yang lebih diyakini akan kebenarannya boleh digunakan, tidak kira sama ada pendapat tersebut lebih senang atau lebih sukar untuk dilaksanakan. 

Jika saya seorang muallaf di AS, tentunya ini akan lebih mengindahkan pandangan saya kepada Islam.